KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang kesalahan yang melibatkan gangguan seksual dan pelanggaran hak serta kebajikan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun yang memandang serius perkara itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai perbuatan tidak profesional dan tidak boleh dipandang remeh.

"KPWKM akan terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha melindungi hak kanak-kanak dan menangani isu gangguan seksual.

"Kita mestilah menghentikan jenaka-jenaka berunsur seksual seperti rogol dan body shaming apatah lagi memberikan contoh-contoh yang tidak bersesuaian dalam aspek memberikan kesedaran tentang gangguan seksual terhadap pelajar di sekolah mahupun kepada masyarakat secara umumnya.

"Tindakan-tindakan seperti ini, termasuk perlakuan victim blaming adalah amat tidak wajar dinormalisasi kerana ia memberikan satu mesej yang tidak sihat kepada masyarakat dan dikhuatiri akan menyumbang kepada perlakuan jenayah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas berkait tindakan seorang guru yang didakwa membuat jenaka rogol sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran di sebuah sekolah baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rina menegaskan kanak-kanak seharusnya berada di dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif, selamat, bebas dan dilindungi daripada sebarang ancaman termasuk gangguan seksual dan eksploitasi.

Justeru katanya, KPWKM sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan agar kanak-kanak bebas daripada segala perkara negatif melalui langkah advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan.

Selain itu, menurut Rina pihaknya sedang merangka dan dalam penilitian akhir untuk menggubal undang-undang anti-gangguan seksual demi memastikan penguatkuasaan akta dan peraturan yang lebih baik dapat dilaksanakan.